| Tuesday, 4-May-2004 00:00 |
|
Dua maut dipanah petir: 21 cedera ketika berkhemah di Gng Rajah
|
|
KUALA LUMPUR: Seorang peserta ekspedisi mendaki Gunung Rajah, dekat Bentong, Mohd Nor Azman Noor Azahari, 17, terpelanting beberapa meter sebaik melihat kilauan cahaya dan pahanan petir yang menyebabkan dua rakannya terbunuh, malam semalam.
“Waktu itu saya sedang sedang sibuk membaiki khemah kerana hujan agak lebat.
“Tiba-tiba saya ternampak silau cahaya dengan diikuti letupan kuat sebelum saya terpelanting di celah batang pokok,” kata Mohd Nor Azman ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam tadi.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sekelip mata dan dia hanya dapat mendengar rakannya menjerit dan mengerang kesakitan dalam kegelapan.
“Saya dapat merasakan tubuh saya melecur terbakar dan berasap. Ketika itu saya mula sedar kami semua terkena panahan petir.
“Saya cuba bangun tapi kaki saya terlalu lemah. Saya cuma tahu ada dua dari ahli ekspedisi cedera parah dan kemudian meninggal dunia,” katanya.
Dia adalah seorang dari enam ahli ekspedisi yang dipindahkan dari Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan di Unit Separa Kecemasan HKL, malam tadi.
Mohd Nor Azman yang terbakar pada hadapan tubuhnya, tiba di Wad Kecemasan HKL bersama dua lagi anggota ekspedisi, Wan Sharizan Wan Yusoff, 18, dan Mohd Sabri Zainal, 18.
Jurucakap hospital HKL berkata, Mohd Sabri cedera serius meliputi hampir 43 peratus pada tubuh, terutama pada muka dan mata.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka yang tiba pada jam 9.20 malam diberi rawatan di Unit Separa Kecemasan kecuali Mohd Sabri yang dipindahkan ke Unit Kecemasan HKL.
Tiga lagi mangsa , Mohd Nizam Abu Bakar, 27, Soffian Mohd Nor, 30, dan Mohd Azroy Khatib, 18, tiba di HKL pada jam 9.50 malam dan dimasukkan ke unit sama.
Sementara itu, isteri Mohd Nizam, Norhasnila Ismail, 29, berkata, suaminya hanya mengalami kesan terbakar pada belakang tubuh dan terseliuh kaki.
Menurutnya, dia terkejut dengan peristiwa itu kerana suaminya yang bekerja sebagai jurupandu ekspedisi kerap mendaki dan berkhemah di gunung berkenaan.
“Dia bertugas dengan syarikat Explorasi Asian sejak beberapa bulan lalu. Saya tidak sangka kejadian ini boleh menimpanya kerana dia sepatutnya pulang ke rumah malam ini (semalam),” katanya.
Menurutnya, suaminya mula memulakan ekspedisi Jumaat lalu dan hanya memulakan pendakian ke puncak gunung, pagi Sabtu lalu.
“Dia ada memberitahu ternampak api terpercik dari tanah sebelum belakang tubuhnya disambar api.
“Dalam perjalanan ketika dibawa ke HKL, Nizam hanya mengerang kesakitan dan mengadu terlalu lapar kerana tidak menjamah sebarang makanan sejak kejadian,” katanya.
TERBUNUH
1. Mohd Nazim Ibrahim, 30, pekerja kilang di Nilai, Negeri Sembilan,
2. Ahmad Shah Jaffar, 23, penuntut Institut Kemahiran Ikhtisas, Pahang.
CEDERA
1. Wan Shahrizan Wan Yusof, 18, (Kg Paya Siput,Lancang, Pahang).
2. Mohd Sobri Zainol Abidin, 18 (Kg Repas, Bentong).
3. Mohamad Nor Azwan Nor Azahari, 17, (Bentong).
4. Mohd Noor Harizan Mohd Daud, 18 (Mengkarak, Pahang).
5. Mohd Rah mad Razali, 23 (Nilai, Negeri Sembilan).
6. Faizu Deraman, 24 (Nilai, Negeri Sembilan).
7. Fizal Hj Musli (Ulu Bernam, Selangor).
8. Sofian Mohd Nor, 30, (Kuala Repas, Bentong).
9. Mohd Anuar Yusof, 21 (Felda Mempaga, Bentong).
10. Mohd Aswad Abd Manaf,18 (Kuala Lipis, Pahang).
11. Suhaimi Abd Jani, 32 (Felda Kg Awah, Temerloh).
12. Shaiful Hafizam Yahya,18 (Lanchang, Pahang).
13. Julia Sharif (wanita),18, (Raub, Pahang).
14. Muhd Nor Hafiz Mohd Daud,18 (Mengkarak,Pahang).
15. Muhd Fikri Zahari, 19 (Felda Mempaga 3, Bentong).
16. Muhd Nizam Abu Bakar, 28 (Damansara Utama, Selangor).
17. Muhd Azroy Khatib,18 (Bentong, Pahang).
18. Izhar Bidin, 28 (Nilai, Negeri Sembilan).
19. Mohd Yusof Ramli, 18 (Bentong, Pahang).
20. Suhaimi Abd Jari, 32 (Felda Kg Awah, Temerloh, Pahang).
21. Nurul Nadia, 18, (Raub, Pahang)
|
|